Friday, January 4, 2008

Forensik siasat kes DVD Dato Chua

Sekumpulan tujuh anggota forensik dari Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM)

BATU PAHAT, 3 Jan -- Sekumpulan tujuh anggota forensik dari Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman tiba di sebuah hotel bertaraf empat bintang di sini, dipercayai berkaitan dengan siasatan kes DVD aksi seks bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.Kesemua anggota forensik terbabit, enam lelaki dan seorang wanita tiba di hotel paling mewah di Batu Pahat kira-kira pada 3.35 petang tadi dengan menaiki dua kenderaan milik jabatan tersebut.

Mereka bagaimanapun tidak memberikan sebarang kenyataan kepada anggota media yang berkumpul di perkarangan hotel setinggi 15 tingkat terbabit sejak pagi tadi.Sehingga berita ini dilaporkan, pasukan forensik Bukit Aman itu masih berada di dalam hotel mewah terbabit.

Chua, yang juga merupakan bekas Pengerusi Badan Perhubungan MCA Johor, anggota parlimen Labis dan Pengerusi MCA Bahagian Batu Pahat dipercayai sentiasa menginap di hotel terbabit apabila menghadiri majlis-majlis MCA dan kerajaan di daerah itu.

Di dalam sidang media di Kementerian Kesihatan semalam, beliau mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Menteri Kesihatan, Pengerusi MCA Johor dan naib presiden MCA pusat, Pengerusi MCA Bahagian Batu Pahat serta anggota parlimen Labis, berkuatkuasa dengan serta merta.

Pengumuman tentang perletakan jawatan beliau menyusul sehari selepas mengaku di dalam sidang media di Pejabat MCA Bahagian Labis bahawa beliau adalah lelaki yang dilihat melakukan hubungan seks dengan seorang wanita di dalam DVD yang tersebar luas di beberapa daerah di Johor baru-baru ini.

PENGAKUAN CHUA ISU DVD SEKS