Saturday, February 2, 2008

Pemuda UMNO Batu Pahat yakin DUN Senggarang mampu dirampas

Pemuda UMNO Batu Pahat yakin kekuatan golongan muda mampu menjamin kejayaan cemerlang Barisan Nasional termasuk merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang pada pilihan raya umum ke-21 nanti.

Ketuanya, Zaidi Japar berkata, dengan jumlah ahli seramai 5,500 orang, mereka akan memastikan sokongan padu diberikan kepada calon-calon BN pada pilihan raya nanti.

"Sokongan golongan muda terhadap kerajaan di bahagian ini tidak berbelah bagi kerana BN telah berjaya membuktikan ia sebuah parti yang sentiasa relevan dan berkhidmat untuk rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Peringkat Pemuda UMNO Batu Pahat yang dirasmikan oleh Ketua Bahagiannya, Senator Dr. Mohd. Fuad Zarkhasi di Dewan Orang Ramai Senggarang dekat sini malam kelmarin.

Menurutnya, pergerakan itu juga berjaya mendaftarkan seramai 1,500 pengundi baru di kalangan belia yang pasti akan menambahkan kekuatan BN di bahagian berkenaan.

Zaidi berkata, pihaknya telah bersiap sedia untuk menggerakkan jentera pada bila-bila masa sahaja bagi memastikan kemenangan BN dalam pilihan raya umum nanti termasuk menubuhkan tiga Pusat Operasi Pemuda UMNO di setiap Jawatankuasa Pentadbiran Pemuda Cawangan (JPPC) iaitu di DUN Rengit, Senggarang dan Penggaram.

"Ia akan menjadi penyokong gerak kerja Bilik Gerakan UMNO Bahagian dan antara lain berfungsi mengagih- agihkan poster dan peralatan pilihan raya ke setiap pusat operasi dan setiap peti undi," ujarnya.

Selain itu, seramai 1,500 ahlinya akan bergerak melalui pasukan bermotor untuk melakukan gerak gempur dengan slogan Sedia Gempur.

Pasukan itu akan bergerak ke cawangan-cawangan bagi membantu kerja- kerja pemasangan poster di samping mengiringi calon-calon BN melawat setiap tempat mengundi sebagai menunjukkan kekuatan parti.