Tuesday, January 29, 2008

ADUN Pas sedia terima kekalahan

JOHOR BAHRU 28 Jan. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Dr. Mohd. Ramli Kari bersedia untuk menerima sebarang keputusan termasuk kekalahan jika dicalonkan semula pada pilihan raya umum akan datang.

Wakil rakyat Pas itu berkata, beliau sedar kawasan tersebut merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN), bagaimanapun ia tidak melunturkan semangatnya untuk terus bertanding jika dicalonkan oleh pucuk pimpinan parti.

"Secara teorinya jentera BN memang mantap dan kita semua tahu Senggarang adalah kawasan BN tetapi kalau saya kalah pun jumlah undinya mungkin tidak banyak kerana masyarakat di sini semakin menerima saya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai peluangnya mengekalkan kedudukan sebagai satu-satunya wakil rakyat dari parti pembangkang di Johor pada ketika ini dalam pilihan raya umum ke-12 tidak lama lagi.

Pada pilihan raya lalu, Mohd. Ramli diisytiharkan menang tanpa bertanding selepas kertas pencalonan calon BN, Shamsiah Rashidah tidak memenuhi syarat.

Beliau merupakan wakil rakyat pertama di Senggarang iaitu satu kawasan baru yang diwujudkan selepas persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada tahun 2004.

Kawasan itu mempunyai 19,820 pengundi dengan 58.8 peratus adalah Melayu, Cina (40.1 peratus) dan India (0.8 peratus).

Mohd. Ramli berkata, beliau bersedia menerima kekalahan kerana jawatan bukan matlamat utama dalam perjuangan politik sebaliknya ia adalah amanah yang cuba dilaksanakan mengikut hukum dan perintah Allah.

''Kalah bukan sesuatu yang mengecewakan saya dan perlu diingat kemungkinan untuk saya menang tetap ada kerana sekarang kita tidak boleh tahu apa yang akan berlaku nanti.

''Misalnya, apa yang berlaku pada tahun 2004, saya berjaya menang walaupun kalau hendak difikirkan jangan mimpi boleh menang pada masa itu," tegasnya.

Justeru, beliau berkata, kemenangan atau kekalahannya nanti ditentukan oleh Allah dan beliau bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan.