Friday, December 21, 2007

SIASAT SYARIKAT BAS EKPRES YANG TERLIBAT DALAM KEMALANGAN



Semua syarikat bas ekpres di negara ini yang terlibat dalam mana-mana kejadian kemalangan mesti bersedia untuk dipanggil menjalani siasatan bagi memastikan sistem penyelenggaraan dan keseluruhan operasi bas benar-benar mematuhi undang-undang.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Daruk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata siasatan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) itu bukan sahaja menumpukan perkara yang berlaku ketika kemalangan sebaliknya keseluruhan pengendalian operasi bas oleh syarikat berkenaan.

"Saya beri amaran apabila berlaku kemalangan semua syarikat bas ini mesti bersedia untuk menjalani siasatan. Cara sebegini dapat menentukan kelemahan pengurusan sesebuah syarikat itu," katanya kepada pemberita selepas majlis Korban Perdana anjuran Biro Ekonomi Umno Bahagian Pasir Gudang, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata siasatan sepenuhnya terhadap bas ekpres sudah dijalankan berterusan sejak tragedi kemalangan yang meragut 22 nyawa di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Bukit Gantang, 13 Ogos lepas dan langkah berkenaan perlu dilakukan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan terhadap penumpang.

"Soal keselamatan penumpang adalah aspek utama yang perlu diambil berat oleh mana-mana syarikat bas ekpres dan pemeriksaan berkala serta pemeriksaan keseluruhan selepas kemalangan yang dijalankan ini akan berterusan," katanya.

No comments: