Saturday, January 19, 2008
Penempatan mangsa banjir dibina siri 1
Utusan Malaysia
Mangsa banjir di daerah ini menyambut baik langkah kerajaan mendirikan penempatan baru bagi mereka di Batu 2 Kampung Jawa di sini yang sekali gus dapat menyelesaikan masalah yang sering dihadapi selama ini.
Sebanyak 360 keluarga dari enam kampung di sekitar daerah ini telah bersetuju untuk berpindah ke kawasan penempatan semula itu.
Seorang mangsa banjir, Atan Leman, 65, dari Kampung Kelantan, berkata, dia tidak sabar lagi untuk memasuki rumah baru yang bakal dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Sdn. Bhd. (SPNSB).
“Rumah saya musnah teruk ketika banjir besar melanda pada hujung tahun 2006 dan awal tahun lalu.
“Apabila dengar tentang penempatan baru itu, saya terus memohon kerana tidak tahan lagi dengan masalah banjir yang sering berlaku,” katanya ketika ditemui selepas majlis pecah tanah projek penempatan semula mangsa banjir yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.
Rumah penempatan semula itu berharga RM35,000 sebuah dan setiap keluarga hanya perlu membayar ansuran bulanan sebanyak RM100.
Seorang lagi mangsa banjir, Husein Mat Tahar, 67, dari Kampung Batu 4, pula berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana prihatin dengan nasib orang kampung sepertinya.
“Ini menunjukkan kerajaan prihatin terhadap nasib rakyat yang menghadapi masalah besar,” katanya.
Rakannya, Ab. Aziz Basri, 46, dari Kampung Makam berkata, banjir yang melanda tahun lalu menyebabkan dia kehilangan rumah dan terpaksa menumpang di rumah saudara.
“Kalau boleh saya tak mahu menyusahkan sesiapa, mahupun saudara sendiri.
“Oleh itu, saya amat berharap agar rumah ini dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya.
Turut menerima nasib yang sama adalah penduduk Kampung Tembioh, Azman Yusof, 67, yang terpaksa menumpang di rumah saudaranya setelah rumahnya dihanyutkan arus ketika banjir melanda pada awal tahun lepas.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment